Positioning, suatu konsep yang merujuk kepada bagaimana syarikat atau jenama dilihat oleh audiens sasarannya, adalah penting bukan hanya dalam pemasaran tapi PR juga, namun ramai terlepas pandang hal ini.
Sebagai seorang pengamal PR, soalan utama sering saya dapat ialah bagaimana saya boleh bantu syarikat dapatkan liputan media (media coverage) jika mereka lantik saya sebagai wakil PR. Jika tidak dikawal, perbualan akan terus kepada jumlah artikel boleh saya berikan kepada mereka. Ini sentimen biasa, mungkin kesan pendedahan mereka terhadap PR.
Memikirkan keberkesanan kempen PR nanti, saya ajukan soalan cepumas, “Bagaimana anda bezakan jenama anda dalam pasaran?” Jawapan diterima pula bercampur-campur. Jawapan yang terang akan buat kerja saya lebih mudah namun sudah banyak kali saya terima jawapan kabur. Bila ini berlaku, saya akan jujur dan beri mereka kesedaran untuk baiki kekurangan sebelum risaukan tentang berapa banyak liputan media mereka mahukan.
Konsep positioning saya amalkan untuk klien saya dalam sektor teknologi bukan bergantung pada pencarian tagline semata-mata kerana komunikasi untuk syarikat adalah lebih daripada itu.
Jika dirancang dengan baik, konsep ini mampu wujudkan identiti unik yang bezakan syarikat daripada pesaingnya dan menjadikannya menonjol di pasaran dan inilah yang boleh mainkan peranan untuk menjayakan kempen PR untuk syarikat.
Bayangkan kalau semua pemain dalam pasaran itu kelihatan sama sahaja, bagaimana hendak dapat perhatian pembeli dengan berkesan?
|