Setahun lalu, pada Januari 2025, satu sasaran yang jelas telah diumumkan bahawa Malaysia mahu mencapai 5,000 startup berdaftar menjelang hujung tahun. Bila saya buat semakan di portal MyStartup.gov.my pada 28 Januari lepas, jumlahnya sudah pun mencapai 5,019.
Ini adalah satu pencapaian yang wajar diraikan. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan misi ini!
Apabila KPI Dicapai, Perbualan Pun Bertukar
Dengan lebih 5,000 startup kini berdaftar di bawah satu platform nasional, beberapa soalan penting wajar diajukan:
- Berapa banyak daripada startup ini yang boleh dinamakan oleh rakyat Malaysia secara umum?
- Sejauh mana kita membaca kisah startup tempatan dalam media, termasuklah media arus perdana atau media bisnes?
- Berapa ramai pengasas yang dikenali di luar kisah tentang funding atau di luar “chat group” khusus untuk startup?
Jurang Kesedaran Awam
Di sebalik angka yang menggalakkan ini, wujud satu cabaran berterusan, iaitu, keterlihatan (visibility) startup. Cabaran ini masih wujud walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh agensi kerajaan dan pembina ekosistem. Ini adalah satu pemerhatian yang turut dipantau secara berterusan oleh firma PR saya, Hashim Communications.
Ramai pengasas startup masih belum benar-benar menghayati bahawa kesedaran awam “public awareness” bukan bermaksud menjual kepada semua orang. Ia sebenarnya adalah tentang membina persekitaran yang membolehkan sesebuah startup berkembang. Dek kurang kesedaran tentang hal ini, pengasas cenderung untuk tumpu sepenuhnya kepada penjualan kepada pelanggan. Lantas mereka terlepas pandang kepentingan membina kefahaman dan keakraban awam yang lebih meluas, iaitu sesuatu yang mampu luaskan “talent pool,” jika diberi perhatian.
Walaupun agensi kerajaan memainkan peranan penting dalam mempromosikan ekosistem melalui pelbagai program, hakikatnya, visibility startup kekal sebagai tanggungjawab pengasas itu sendiri. Pendedahan yang dipacu oleh kerajaan boleh menyokong usaha membina kesedaran (awareness), namun startup tidak patut bergantung sepenuhnya kepada kerajaan secara mutlak kerana itu bukanlah pendekatan yang mampan untuk bina kredibiliti jangka panjang.
Komunikasi sebagai Pemacu Seterusnya
Tidak dinafikan bahawa angka pendaftaran adalah penting. Ia menandakan momentum, penyertaan, dan capaian dasar kerajaan.
Namun pada tahun 2026 ini, apabila ekosistem startup Malaysia semakin matang di pelbagai peringkat, aspek komunikasi masih perlu diperkukuhkan, demi menjadikan inovasi lebih mudah difahami, menterjemahkan kerumitan kepada relevan, dan menukar penyertaan kepada kredibiliti. Komunikasi yang berkesan menghubungkan startup dengan pasaran, pembuat dasar, media, pelabur, dan masyarakat umum.
Mengambil Tanggungjawab terhadap Keterlihatan
Syabas kepada semua startup yang telah mendaftar di portal MYStartup. Kini adalah masa yang sesuai untuk merenung makna pencapaian ini dan menilai semula bagaimana pendekatan masing-masing terhadap komunikasi.
Malaysia perlukan lebih ramai pengasas yang dikenali, lebih banyak jenama startup yang dipercayai, dan lebih banyak kisah yang mampu bergema di luar kepompong startup itu sendiri.
Kita mahu perjalanan startup Malaysia yang dilakari kisah-kisah yang menarik, jenama yang kekal relevan, dan pengasas yang dikenali ramai.
Kepada para pengasas startup: Syabas, anda telah berjaya mendaftarkan syarikat anda. Kini tiba masanya untuk pastikan kisah anda didengari.
Dunia sedang menanti.
Tulisan ini diterjemahkan daripada artikel asal dalam Bahasa Inggeris.
Oleh Kam Hashim.
###
KitaKata adalah ruangan perkongsian tulisan berbahasa Melayu oleh saudara Kam Hashim, seorang juru runding perhubungan awam kepada syarikat teknologi. Beliau yang pernah menghabiskan masa lebih sedekad menuntut ilmu bidang komunikasi di Amerika Syarikat, tidak henti-henti berusaha menambah ilmu untuk menjadi lebih baik lagi. KitaKata disiarkan di lawan web Hashim Communications di www.hashimpr.com.

