KitaKata: Meneroka Peluang Kerjaya dalam Bidang PR – Panduan untuk Pelajar IPT

  • Post comments:0 Comments
Image powered by DALL-E 3.

Kepada anak-anak muda yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi dan tidak pasti kerjaya apa yang mahu diceburi nanti, saya sarankan cuba teroka bidang PR.

PR adalah salah satu cabang komunikasi massa dan di Malaysia, tidak ramai yang sedar bahawa ia adalah bidang yang sudahpun matang setelah lama bertapak di sini. Ia menawarkan banyak peluang pekerjaan di sektor swasta dan kerajaan. Malah PR juga diperhatikan sudah meningkat peranannya di kalangan NGO tempatan.

Tidak kiralah anda pelajar bidang apa juga sekalipun, anda boleh gunakan ilmu dari diploma atau ijazah yang diperolehi untuk memahami industri atau produk yang kompleks dan mampu terjemahkan pengetahuan itu kepada, contohnya, cerita yang menarik nanti untuk disampaikan kepada audien sasaran.

Bagi yang berminat, seeloknya mulakan dengan menimba ilmu asasi komunikasi dan PR dahulu kerana ia akan menjadi bekalan penting masa kerja.

Sekiranya anda ada kelayakan bidang kejuruteraan, kewangan, perdagangan dan sebagainya, asah dahulu kemahiran berkomunikasi, dan ambil tahu selok belok PR sebab ia mampu bantu anda menjadi seorang pengamal PR yang baik dan kompetitif.

Salah satu caranya ialah dengan mendapatkan pendidikan formal PR melalui kursus-kursus ditawarkan. Jika layak dan berkemampuan, contohnya, bolehlah pertimbang untuk lanjutkan pelajaran ke tahap sarjana dalam bidang PR. Ini mungkin satu kelebihan untuk anda jadi lebih kompetitif di pasaran kerja.

Namun, jika tidak mampu menyambung pelajaran seperti itu, belajar sambil bekerja juga boleh diambil kira.

Jangan lupa penguasaan bahasa Inggeris yang baik adalah penting dalam bidang PR.

Ketahuilah bahawa bidang komunikasi dan PR adalah luas, tanggungjawabnya dan peranan bukan terhad kepada menganjurkan “event,” atau dapatkan produk syarikat “masuk” media.

Di zaman sekarang ini, pengamal PR sudah berperanan penting di dalam “boardroom,” membuat keputusan-keputusan penting untuk organisasi mereka.

Cara-cara berkesan untuk mendapatkan pendedahan tentang PR termasuklah mendengar perkongsian oleh pengamal PR atau agen komunikasi, tidak kiralah samada pekerja swasta atau kerajaan dan mengakses ceramah-ceramah dalam talian. Kaji strategi-strategi komunikasi berkesan.

Negara kita sedang membangun dengan pesat menuju ke arah negara maju. Saya yang sudah berkecimpung dalam arena PR selama lebih 20 tahun ini, opmitistik tentang masa depan PR.

Di Malaysia, contohnya, bilangan syarikat permulaan atau startup dijangka meningkat seperti yang dilaporkan dalam media. Perniagaan-perniagaan seperti ini perlukan bakat-bakat PR yang mahir berkomunikasi. (Sila baca Mengapa PR penting untuk startup).

Juga, perhatikan sekeliling anda, semakin rancak syarikat-syarikat tempatan menjalankan atau mensasarkan pelanggan dari luar negara. Perkembangan menjalankan perniagaan merentas sempadan seperti ini perlu ada sokongan kuat daripada kemahiran berkomunikasi. Di sinilah pengamal-pengamal PR boleh ke hadapan untuk menawarkan khidmat untuk sama-sama memacu kejayaan organisari di tahap antarabangsa.

Selamat maju jaya!

Oleh Kam Hashim.

###

KitaKata adalah ruangan perkongsian tulisan berbahasa Melayu oleh saudara Kam Hashim, seorang juru runding perhubungan awam kepada syarikat teknologi. Beliau yang pernah menghabiskan masa lebih sedekad menuntut ilmu bidang komunikasi di Amerika Syarikat, tidak henti-henti berusaha menambah ilmu untuk menjadi lebih baik lagi. KitaKata disiarkan di lawan web Hashim Communications di www.hashimpr.com.

Leave a Reply