Cara-cara berkesan untuk bina kerjaya sebagai pengamal PR

  • Post comments:0 Comments

PR atau perhubungan awam mempunyai peranan penting dalam sesebuah organisasi samada sebuah bisnes, organisasi bukan berasaskan keuntungan (non-profit) dan juga organisasi/agensi kerajaan. Antara tugas besar PR ialah menjaga nama baik organisasi di mata orang ramai, contohnya.

Tanggungjawab PR boleh dipikul oleh pengamal PR dalaman (internal PR) yang mewakili organisasi tempat mereka bekerja ataupun oleh pengamal PR luaran (external PR) yang bertindak sebagai juru runding (mereka ini bertanggungjawab terhadap satu atau lebih organisasi pada satu-satu masa).

Saya tergolong dalam kumpulan yang kedua. Kerja-kerja saya ada pengkhususannya, iaitu saya berpengalaman menjadi juru runding kepada syarikat-syarikat pembangun teknologi atau yang berasaskan teknologi.

Dalam tulisan kali ini saya ingin memfokuskan kepada beberapa cara yang penting dan berkesan untuk membantu seseorang itu menjadi seorang pengamal PR yang baik.

Ilmu kena ada. Ia penting bila kita nak lakukan sesuatu pekerjaan. Ia berguna dalam menjalankan tugas dengan baik sebagai seorang pengamal PR. Jadi, kepada sesiapa yang ingin memasuki bidang PR ini, saya amat galakkan anda menimba sedikit sebanyak ilmu komunikasi dan PR khususnya. Ini kerana, dengan proses pembelajaran yang baik termasuklah teori-teori yang dipelajari akan dapat meletakkan sesuatu tugasan anda di landasan yang betul. Contohnya, penting untuk seseorang pengamal PR memahami apa itu siaran media dan cara-cara menulisnya dengan baik, supaya usaha penulisan bakal meraih pulangan yang bagus. Anologi yang boleh saya kongsikan ialah misi membina rumah. Asas rumah (foundation) yang kukuh penting untuk menyokong binaan rumah yang lengkap nanti.

Ilmu juga boleh di dapati melalui latihan dalam kerja ataupun “on-the-job learning.” Jika anda baru memulakan kerjaya sebagai PR, carilah ilmu sebanyak mungkin dari pengurus anda atau rakan sekerja yang berpengalaman. PR ini luas bidangnya. Tugasan-tugasan PR banyak bergantung kepada jenis dan saiz organisasi, industri bisnes diceburi dan lain-lain faktor. Amalan PR di syarikat startup contohnya, ada yang tidak sama dengan amalan PR di syarikat besar.

Kemudian, mempunyai mentor yang berpengalaman di tempat kerja juga adalah sesuatu yang saya galakkan kepada sesiapa yang mahu menceburi bidang PR. Tidak semestinya seorang mentor itu dilantik secara formal. Asalkan kedua-dua pihak setuju dan mahu ambil bahagian dalam hubungan mentor-mentee, ini sudah memadai. Jaga adab-adab juga.

Kepintaran dan pemahaman tentang bisnes juga adalah penting sekiranya mahu menjadi pengamal PR untuk firma perniagaan. Hal ini mungkin tidak menjadi keperluan kritikal pada eksekutif junior yang baru masuk kerja namun kelak, untuk naik ke jawatan lebih tinggi dengan tanggungjawab lebih besar lagi, ia menjadi faktor penting untuk membolehkan anda berfikir secara kritikal dan lebih strategik untuk firma yang anda wakili. Satu caranya ialah dengan selalu membaca, menonton dan mendengar berita-berita serta ulasan-ulasan bisnes di media massa. Bagi yang di dalam sektor non-profit dan PR untuk kerajaan pula pemahaman seperti ini pun bagus jika ada.

Faktor minat memang tidak boleh diketepikan. Ia adalah faktor pendorong yang patut ada. Dengan adanya minat untuk berusaha menjadi seorang pegamal PR, banyak yang boleh dicapai. Bagaimana mahu ada minat? Saya percaya melalui pendedahan awal tentang PR misalnya, ia boleh memupuk rasa minat seseorang terhadap bidang ini. Kepada pelajar-pelajar PR, salah satu yang bagus dilakukan ialah mendapatkan peluang membuat latihan praktikal di mana anda boleh secara langsung belajar daripadi pengamal PR sendiri.

Saya nak selitkan di sini faktor penguasaan bahasa (menulis dan bertutur) yang baik. Ini adalah suatu kemahiran yang amat penting dimiliki oleh mana-mana pengamal PR. Saya kira penguasaan mestilah sekurang-kurangnya di peringkat pertengahan (intermediate) bagi yang baru mula kerjaya sebagai pengamal PR dan terus ditingkatkan ke paras tinggi (advanced).

Penyesuaian diri dengan perubahan keadaan sekeliling untuk kekal relevan. Putaran kehidupan sekarang amat pantas. Justeru, sebagai pengamal PR, kenalah peka kepada perubahan dan pandai menyesuaikan diri dengan elemen-elemen baru yang boleh mempengaruhi kerja. Contohnya, dalam era serba moden ini, kenalah belajar cara-cara mengendalikan  persidangan video dalam talian.

Nak jadi pandai PR bukanlah senang dan ia tidaklah boleh dicapai dalam sekelip mata. Sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang PR atau yang baru memulakan kerjaya, tidak kiralah sebagai PR dalaman atau luaran, mungkin elok fikirkan hal-hal tersebut yang saya nyatakan tadi, iaitu:

  1. Timba ilmu asas komunikasi dan PR;
  2. Dapatkan bimbingan daripada mentor;
  3. Tumpu latihan dalam kerja;
  4. Faham tentang bisnes;
  5. Tanam minat dalam PR;
  6. Kuasai bahasa; dan,
  7. Sesuaikan diri dengan perubahan.

Semoga industri PR di Malaysia terus maju dan mampu melahirkan lebih ramai lagi pengamal PR yang baik.

###

Oleh Kam Hashim.

Kam Hashim ialah seorang juru runding PR yang mempunyai pengalaman lebih daripada dua dekad termasuk 14 tahun di Amerika Syarikat. Beliau adalah pengasas Hashim Communications yang menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan PR untuk syarikat-syarikat pembangun atau berasaskan teknologi. Laman webnya ialah www.hashimpr.com. 

Leave a Reply