Memperkasa bidang PR menerusi perkongsian ilmu

  • Post comments:0 Comments

Tidak lama dahulu, saya dapat ilham untuk menulis dan berkongsi artikel pendek dalam bahasa Melayu (BM), tentang perhubungan awam atau PR, untuk terbitan di laman blog saya ini (www.hashimpr.com).

Setakat ini, saya berjaya menghasilkan beberapa tulisan ringkas tentang PR yang telah pun saya terbitkan.

Siapa sangka, artikel BM bertajuk Cara-cara berkesan untuk bina kerjaya sebagai pengamal PR muncul antara artikel paling banyak diakses/lihat (“view”) dalam blog saya (lihat gambar di bawah) setakat ini, menurut laporan analisa kandungan.

Imej menunjukkan enam kandungan paling dilihat di hashimpr.com setakat 16 Oktober 2024

Ini sesuatu yang sangat menarik perhatian.

Kumpulan pengamal PR di negara kita mahir dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu. Ini suatu kekuatan masyarakat kita.

Menerusi pengalaman peribadi, pendidikan PR saya terima di peringkat ijazah pertama di era 90an memang banyak gunakan bahasa Inggeris dan bahan rujukan daripada luar negara.

Kerja yang saya lakukan sekarang pun banyak menggunakan bahasa itu sebagai perantaraan, dan ada suasana memerlukan komunikasi dalam bahasa Melayu. Siaran-siaran media contohnya, diterjemahkan ke bahasa audien sasaran, untuk komunikasi berkesan.

Tidak dinafikan bidang PR di negara kita banyak berlatarbelakangkan perniagaan dan perdagangan, di mana bahasa Inggeris selalu menjadi bahasa utama komunikasi.

Dalam masa yang sama, kita juga ada rakan-rakan pengamal-pengamal komunikasi dan PR, contohnya di Jabatan Penerangan, yang besar tanggungjawab mereka di peringkat kebangsaan dan negeri, menggunakan bahasa Melayu.

Asalnya, saya tulis artikel ringkas dalam BM adalah untuk asah kemahiran menulis. Bila saya mula menapak sebagai perunding PR bebas pada 2012, saya mahukan penguasaan BM yang baik untuk berjaya.

Bila ada orang yang membaca tulisan saya, ia memberi petanda baik – saya jadikan motivasi untuk terus berkongsi ilmu PR dalam bahasa Melayu, mengikut kemampuan.

Usaha berkongsi ilmu berkaitan komunikasi dan PR dalam bahasa Melayu ini untuk memupuk kesedaran ramai.

Manalah tahu, mungkin usaha kecil ini juga boleh merapatkan jurang rujukan dan perkongsian PR dalam bahasa Melayu yang kelihatan kecil bilangannya.

Sekiranya anda ada cadangan tajuk untuk saya tulis, sila kemukakan kepada saya. Mungkin ia sesuatu yang saya boleh pertimbangkan nanti.

Terima kasih di atas sokongan anda!

Oleh Kam Hashim.

Leave a Reply